Thursday, 3 March 2016

KESIMPULAN

KESIMPULAN

HIKMAH IBADAT

Sesungguhnya ibadat mempunyai rahsia yang tersendiri yang kesannya boleh dirasai jika seseorang itu melakukannya dengan penuh keikhlasan untuk mencari keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Antara rahsianya ialah seperti berikut:

1. Menjadi pengurus masa yang baik
Setiap ibadat, baik yang wajib atau sunat melatih individu Muslim menjadi pengurus masa yang berkesan lagi cekap. Contohnya solat, puasa, zakat dan haji perlu diselesaikan tepat pada waktu serta mengikut aturan dan ukuran tertentu. Dalam melaksanakan ibadat, kejayaan bukannya kerana mampu melakukan semua aspek ibadat tetapi menentukan keutamaan iaitu yang penting (wajib) diutamakan sementara yang sunat digalakkan. Ibadat yang terbaik walaupun sedikit tetapi harus dilakukan secara berterusan.

2. Membentuk keperibadian yang mulia
Ibadat berfungsi membina peribadi yang mulia dengan menyemai nilainilai positif dalam diri seseorang Muslim. Nilai-nilai mulia seperti disiplin diri, amanah, berani, tepati janji, bersangka baik, bekerjasama, bertoleransi, kebersihan dan sebagainya dapat diterapkan dalam kehidupan individu dan masyarakat melalui amalan ibadat solat, puasa, haji, membaca al-Qur’an dan banyak lagi ibadat lain.

3. Menjamin kualiti hidup
Ibadat perlu dilaksanakan dengan penuh perhatian dan tumpuan kerana ibadat yang dilakukan secara sambil lewa tidak diiktiraf sebagai ibadat kecuali penat dan letih sahaja. Maka ibadat dalam Islam menekankan kualiti ihsan iaitu setiap amalan ibadat perlu dilakukan dengan kesedaran diri bahawa Allah s.w.t. Maha Melihat. Sifat ikhlas akan menjadikan seseorang itu bekerja dengan penuh teliti dan rajin kerana ganjaran sebenarnya adalah daripada Allah s.w.t.

4. Menjamin kebahagiaan jasmani dan rohani
Segala ibadat yang dipraktikkan oleh seseorang Muslim akan mendapat ganjaran kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Contoh yang terbaik adalah ibadat wajib seperti solat yang boleh membina kekuatan jasmani dan rohani. Solat fardhu lima waktu dalam sehari semalam banyak membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan serta memtenteramkan
jiwa.

No comments:

Post a Comment